May 31, 2012

Cinta kampus.. Baik atau buruk?



Lumrah kehidupan, setiap insan pasti ingin dicintai dan mencintai. Ia seolah-olah menjadi satu keperluan dalam hidup. Setiap insan pasti merasai cinta tidak kira diusia muda mahupun tua. Cinta merupakan satu perasaan yang dianugerahkan kepada kita. Menurut Kamus Dewan, cinta bermaksud perasaan atau berperasaan sangat kepada Negara, orang tua, kebebasan dan lain-lain.

Persoalan yang timbul kala ini adalah berkaitan cinta kampus. Bagi kebanyakan orang, universiti merupakan tempat untuk kita menuntut ilmu bagi mencapai kejayaan serta cita-cita. Namun, semakin ramai penuntut universiti kala ini menjadikan kampus mereka sebagai tempat bercinta.

Kajian yang dikeluarkan oleh kaunselor Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan lebih 80% penuntut mempunyai pasangan bercinta tidak kira di Universiti yang sama mahupun berlainan.

Di kampus, mahasiswa dan mahasiswi akan berhadapan dengan pelbagai ujian serta cabaran bagi membolehkan mereka mencapai impian serta cita-cita. Sokongan moral juga fizikal yang kuat amat diperlukan agar mereka dapat tempuhinya dengan sebaik mungkin. Jauh daripada ibu bapa serta keluarga membuat penuntut-penuntut universiti merasa kesepian dan memerlukan teman. Ini merupakan salah satu faktor mereka mencari pasangan agar diberikan sokongan serta dorongan kepada mereka. Contohnya, mereka akan diberikan nasihat serta semangat oleh pasangan seandainya keputusan peperiksaan tidak memuaskan. Selain itu, mereka akan dibantu dalam membuat sebarang tugasan yang diberikan.

Bercinta di kampus dapat membuat pasangan ini bertarung dalam akademik. Ini dapat menaikkan semangat mereka untuk mendapat keputusan yang baik serta cemerlang dalam peperiksaan. Malah, mereka akan mengulangkaji serta membuat latihan bersama juga bertukar pendapat. Di sini dapat kita lihat bahawa bercinta di kampus memberikan kesan yang baik bagi penuntut-penuntut universiti.

Namun, jika pasangan ini tidak mempunyai pegangan agama serta jati diri yang utuh, percintaan  akan mendahui cita-cita mereka. Ini bermakna, mereka akan membiarkan percintaan mereka menghalang azam mereka untuk terus berjaya. Apabila rasa cinta itu menguasai diri, mereka akan hilang fokus semasa belajar. Hanya jasad sahaja berada di dalam dewan kuliah atau kelas malah fikiran mereka akan terbang melayang memikirkan si dia.

Tambahan lagi, perbincangan mereka akan lebih kepada soal hubungan daripada membincangkan soal pelajaran. Ini membuatkan mereka alpa dengan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka iaitu mencapai cita-cita. Mereka juga akan lebih kepada bersuka-ria dan membuang masa seperti meluangkan masa bersama di bandar, pusat membeli-belah, tempat makan malah di perpustakaan juga dijadikan tempat untuk berkasih-kasihan.

Prof Madya Dr. Mat Saat Baki, seorang pakar psikologi pernah menulis; “cinta itu berkembang, kita tidak jatuh cinta. Cinta pandang pertama adalah satu metos. Sebenarnya perasan cinta itu berkembang dari masa ke masa, lebih lama kita memahami, mengenali seseorang itu, akan lebih dalam perasaan cinta.”

Dr. Mariani Md Nor, pensyarah Jabatan Psikologi dan Awal kanak-kanak Universiti Malaya pula mengatakan bahawa cinta atau kasih sayang manusia merangkumi elemen tanggungjawab, komitmen dan keghairahan. Jelasnya, cinta di kampus umumnya melibatkan mahasiswa. Seseorang itu memerlukan sokongan sosial dan emosi terutama pelajar. Lumrahnya, pelajar banyak tugasan, masalah dengan kawan serumah, sekolah dan pensyarah. Faktor-faktor inilah yang mendorong mereka mencari bantuan dan sokongan moral.

Hakikatnya, bercinta itu tidak salah. Sesungguhnya manusia tidak akan pernah terlepas daripada rasa cinta. Namun, pegangan agama sangatlah penting untuk kita mencapai cita-cita di dunia mahupun akhirat. Dengan iman yang tinggi, kita dapat mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala-gejala yang kurang sihat seperti zina, kes pembuangan bayi, bunuh diri dan sebagainya.
Kebaikan serta keburukan bercinta di kampus bergantung kepada individu tersebut. Jika ia mampu membahagikan masa antara pelajaran dan hubungan, ia tidak akan mengganggu gugat pengajiannya. Malah, ia dapat membuat persediaan bagi masa hadapan setelah mengenali pasangannya sejak di kampus lagi.

Akhir kata, janganlah sekali-kali kita menggadaikan maruah serta harga diri hanya kerana cinta. Sesungguhnya cinta manusia tidak akan membawa kita ke mana-mana. Ingatlah, jangan membiarkan nasi menjadi bubur kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. 

4 comments:

  1. adew blog ta habaq pown,,best ceta2 kat sini

    ReplyDelete
  2. ada yg terfikir kalau x bercinta zmn studies.. nt lmbt kawen..huhu..

    ReplyDelete